HIKMAH
"Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan nasihat-nasihat yang baik-baik, dan bertukar fikiranlah dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang mengetahui siapa yang terpimpin." [An-Nahl:125]
Hikmah dalam erti "mengenal golongan":
Bila seorang pembawa da'wah sudah mengayunkan langkah, bermacam corak manusia yang akan dijumpainya.
Dia akan berhadapan dengan fahaman-fahaman dan pegangan-pegangan tradisional yang sudah berurat dan berakar; dengan sesetengah orang yang mahu menolak tiap-tiap apa yang baru; dengan kegigihan orang yang ingin mempertahankan kedudukan pendapatnya, dan yang bimbang kalau-kalau apa-apa yang hendak disampaikan itu akan merugikannya; dengan kejahilan orang yang bodoh, yang reaksinya secara bodoh pula; dengan cerdik cendekiawan yang hanya mahu menerima sesuatu atas dasar hujjah dan keterangan-keterangan yang "nyata"; dengan orang-orang yang sangsi
disebabkan oleh bemacam pendengaran-pendengaran atau pengetahuan-pengetahuan yang serba-serbi; dan sebagainya.
Tiap-tiap jenis itu harus dihadapi dengan cara yang sepadan dengan tingkat kecerdasan, sepadan dengan alam fikiran dan perasaan serta tabiat masing-masing.
Ayat Al-Qur'an yang di atas mengandungi petunjuk-petunjuk pokok bagi Rasul dan para da'i, cara bagaimana menyampaikan da'wah kepada manusia yang berbagai jenis itu. Yakni:
"Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan nasihat-nasihat yang baik-baik, dan bertukar fikiranlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik." (An Nahl:125)
Syeikh Muhammad Abduh (dalam Tafsir al-Manar, juz III) menyimpulkan dari ayat Al Qur'an di atas, bahawa dalam garis besarnya, ummat yang dihadapi seseorang pembawa da'wah dapat dibahagi atas tiga golongan, yang masing-masingnya harus dihadapi dengan cara yang berbeza-beza pula:
a. Ada golongan cerdik-cendekiawan yang cinta kebenaran, dan dapat berfikir secara kritical, cepat dapat menangkap erti persoalan. Mereka ini harus dipanggil dengan "hikmah": yakni dengan alasan-alasan, dengan dalil dan hujjah yang dapat diterima oleh kekuatan aqal mereka.
b. Ada golongan awam, orang kebanyakan yang belum dapat berfikir secara kritical dan mendalam, belum dapat menangkap pengertian-pengertian yang tinggi-tinggi. Mereka ini dipanggil dengan "mauidzatun-hasanah", dengan anjuran dan didikan yang baik-baik, dengan ajaran-ajaran yang mudah difahami.
c. Ada golongan yang tingkat kecerdasannya di antara kedua golongan tersebut, belum dapat dicapai dengan "hikmah", akan tetapi tidak akan sesuai pula bila dilayani seperti golongan awam; mereka suka membahas sesuatu, tetapi hanya dalam batas yang tertentu, tidak sanggup mendalam benar.
Mereka ini dipanggil dengan "mujadalah billati hiya ahsan"; yakni dengan bertukar fikiran, untuk mendorong supaya berfikir secara sihat, dengan satu dan lainnya dengan cara yang lebih baik.
Demikianlah Syeikh Muhammad Abduh, kesemuanya dapat disimpulkan dalam kalimat:
"Berbicaralah kepada manusia menurut kadar aqal (kecerdasan) mereka masing-masing"
Hadith yang lengkap berbunyi:
"Kami diperintah supaya berbicara kepada manusia menurut kadar aqal (kecerdasan) mereka masing-masing" [Rowahu Muslim]
Ini tidaklah bererti bahawa menghadapi golongan awam selalu akan lebih mudah daripada menghadapi golongan cerdik-cendekiawan. Memang menghadapi cerdik-cendekiawan itu memerlukan ilmu yang agak luas dan mendalam. Akan tetapi seringkali mereka ini, dengan sekadar sindiran atau kerenah saja sudah dapat menangkap apa yang dimaksudkan; dengan sedikit pancingan dan dorongan untuk berfikir, mereka dapat merintis jalan sendiri, dan akhirnya mencapai kebenaran.
Dan mereka akan terima kebenaran itu, apabila pada hujung jalan fikiran mereka itu tidak ada pula hawa nafsu yang menabiri(membentengi) antara mereka dengan kebenaran yang sudah kelihatan oleh mereka.
Kepada golongan awam cukup dikemukakan bahan-bahan yang sederhana. Tak ada gunanya membawakan pemikiran-pemikiran yang tinggi-tinggi. Akan tetapi cara, kaifat menghidangkan sesuatu yang sulit dalam bentuk yang mudah, tidak dapat dikatakan suatu perkara yang "mudah."
Demikianlah pula menghadapi golongan ketiga, yang dalam pembahagian golongan, sebagaimana yang dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Abduh itu, letaknya "di antara" golongan cerdik cendekiawan dan golongan awam, dan harus dihadapi dengan "mujadalah billati hiya ahsan", tidaklah selalu akan lebih mudah daripada menghadapi golongan pertama (cerdik pandai), dan tidak akan selalu lebih sulit daripada golongan kedua (awam).
Golongan macam manapun yang akan dihadapi, masing-masingnya menghendaki cara yang mengandungi "kemudahan" dan "kesulitannya" sendiri.
Pokok persoalan bagi seseorang pembawa da'wah ialah bagaimana menentukan cara yang tepat dan efektif dalam menghadapi suatu golongan tertentu dalam suatu keadaan dan suasana yang tertentu.
[Fiqhud Da'wah]
SUMBER: Perindu Syuhada (FB)
No comments:
Post a Comment